Adab bersin tambah rahmat, mampu elak penyakitOleh Nik Salida Suhaila Nik SalehRasulullah ajar doa untuk kesejahteraan umat bukti Islam sediakan cara hidup sempurnaDEMAM, batuk dan selesema yang menjadi mimpi ngeri kepada kita hari ini disebabkan serangan wabak selesema babi yang meragut berpuluh nyawa turut menghalang kita meneruskan rutin harian kerana bimbang dijangkiti atau menyebabkan jangkitan.Benar hanya Allah SWT yang menentukan sesuatu berlaku, tetapi makhluk wajib berikhtiar menjauhi kebinasaan sama ada di dunia atau akhirat.Justeru, dalam keadaan genting seperti hari ini, umat Islam perlu lebih tekun bertahajud dan berdoa (al-ma'thurat khususnya) seperti dilakukan Rasulullah SAW dan mengetahui cara hidup Islam sebenar, termasuk ketika menghidapi penyakit berbahaya.Antara tanda awal selesema babi ialah demam diikuti selesema, batuk, sakit tekak dan sebagainya. Kebiasaan orang yang menghidap selesema akan bersin dan berasa tidak selesa. Memang ia agak menyukarkan, tetapi ajaran Islam menganjurkan umatnya supaya beradab ketika bersin seperti menutup mulut dan menahan suara supaya tidak terlalu kuat yang sedikit sebanyak mengurangkan penularan wabak penyakit.Allah SWT menyukai bersin kerana orang bersin akan memuji-Nya. Dengan pujian itu, saudara atau sesiapa yang mendengar lafaz 'Alhamdulillah' yang diucapkan akan mendoakan kita dirahmati Allah kembali.Bayangkan jika hanya seorang bersin dan ungkapan 'Alhamdulillah' didengari ramai orang, tentulah semua yang mendengarnya mendoakannya kembali dengan lafaz "Yarhamukallah'.Berapa ramai yang mendoakan orang bersin dirahmati Allah? Dengan wabak yang menular, kita wajar saling mengingatkan mengenai penyakit itu, di samping mengambil langkah pencegahan agresif.Kita juga perlu kembali kepada cara dan panduan dianjurkan agama dan tahu ungkapan yang disebut sesudah bersin adalah hikmah yang sungguh bermakna dan tidak menyamai ungkapan lain.Rasulullah SAW bersabda seperti yang diriwayatkan Imam Bukhari maksudnya: "Jika seorang antara kamu bersin, hendaknya ia mengatakan Alhamdulillah (segala puji hanya bagi Allah). Kemudian saudaranya atau temannya mengucapkan Yarhamukallah (mudah-mudahan Allah merahmatimu)."Jika dia mengucapkan Yarhamukallah, maka ia mengucapkan Yahdikumullah wa yushlih balakum (mudah-mudahan Allah memberikan petunjuk-Nya kepadamu dan memperbaiki keadaanmu."Dalam hadis diriwayatkan dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyintai bersin dan membenci menguap. Jika ada antara kamu bersin dan memuji Allah Azzawajalla, wajib bagi setiap Muslim yang mendengarnya untuk mengucapkan Yarhamukallah."Menguap berasal daripada syaitan. Jika ada antara kamu yang menguap, ia perlu menahan sekuat tenaga kerana jika menguap, maka syaitan akan mentertawakannya." (Hadis Riwayat Bukhari)Memang tiada sesiapa pun yang memuji Allah selepas menguap, malah kadangkala terlupa untuk menutup mulut, tetapi hakikat bahawa Allah menyukai bersin kerana ia akan memuji Allah, jika tidak ia tiada bezanya dengan menguap.Bahkan orang yang mendengar sesiapa yang bersin dan tidak mengucapkan 'Alhamdulillah' tidak perlu mendoakannya atau mengucapkan 'Yarhamukallah'.Rasulullah SAW turut menjelaskan hal sedemikian dalam sabda Baginda mafhumnya: "Jika seorang antara kalian bersin kemudian memuji Allah (hamdalah), maka doakanlah ia. Jika dia tidak memuji Allah maka jangan kalian mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)Pernah berlaku satu keadaan di mana terdapat dua orang lelaki yang bersin di hadapan Rasulullah SAW dan Baginda mendoakan salah seorang lelaki berkenaan. Kemudian orang yang tidak didoakan oleh Rasulullah itu bertanya kenapa Rasulullah tidak berbuat demikian kepadanya (iaitu berdoa), lalu Rasulullah menjawab: "Yang ini memuji Allah tetapi engkau tidak memuji Allah."Selain memuji Allah SWT, perbuatan saling berdoa yang kita lakukan menunjukkan hubungan persaudaraan yang teguh dan manis, kasih sayang yang kuat dan utuh antara saudara seagama.Begitulah cara hidup Islam, apa saja yang dilakukan terangkum dalam peraturan sempurna demi mendapat rahmat Allah yang turut merangkumi kesihatan yang sejahtera.Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia, Negeri SembilanSaya sekadar menyampaikan ilmu yang saya perolehi.Di petik dari Berita Harian 13 Ogos 2009.
Kredit dr Isu hangat.
Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer
0 comments:
Post a Comment